Zoo Mini Kemaman kini dibuka

>> Tuesday, April 14, 2009

Mini Zoo Kemaman antara yang menarik ialah menunggang gajah antara daya tarikan utama ke zoo pertama di Terengganu yang terletak di Kampung Ibok, Kemaman.

Zoo pertama di Terengganu yang mula dibuka kepada orang ramai semalam adalah hasil gabungan kawasan pameran spesies haiwan, taman rekreasi air, taman tema dan kebun buahbuahan di habitat semula jadi kunang-kunang yang terbesar di Pantai Timur.

Terletak di Kampung Ibok di kawasan seluas 54 hektar, Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman itu yang pertama seumpamanya di negara ini merupakan daya tarikan pelancongan dan pemangkin pembangunan ekonomi terbaru di Terengganu.

Zoo berkenaan bersempadan dengan habitat kunang-kunang yang terkenal di Kampung Yak Yah itu mempamerkan kira-kira 100 spesies haiwan seperti harimau, gajah, burung merak, beruang serta ikan naga atau 'arapaima gigas' sepanjang hampir tiga meter.

Selain taman tema air serta taman permainan kanak-kanak yang berkonsepkan rekreasi hutan, tarikan zoo berkenaan ialah laluan kanopi sepanjang 1.2 kilometer merentasi habitat rusa.

Turut disediakan ialah aktiviti menunggang gajah yang tidak ditawarkan di mana-mana zoo di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika merasmikan pembukaan zoo tersebut berkata, zoo berkenaan menyediakan pelbagai tarikan untuk membolehkan pengunjung membuat pilihan semasa melawat.

Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk membawa masuk lebih banyak spesies binatang seperti seladang, kijang, kambing gurun, orang utan dan buaya.

Malah jelasnya, permohonan juga sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mempamerkan spesies burung cenderawasih di zoo berkenaan.

''Kita sedang berusaha untuk menjadikan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini sebagai antara 10 zoo terbaik di rantau ini.

''Lokasi zoo ini yang terletak dalam hutan sekunder memberi kelebihan dari segi persekitaran," ujarnya.

Jelasnya, zoo itu juga akan dijadikan kawasan pembiakan beberapa spesies binatang tempatan yang hampir pupus untuk dilepaskan kembali ke habitat asalnya atau dijual kepada zoo lain.

Sebagai pusat rekreasi pula jelasnya, zoo itu mempunyai beberapa taman tema iaitu taman herba, taman pokok hutan, taman tropika, taman buah-buahan, taman orkid, taman bonsai dan taman akuatik.

Pada musimnya kata beliau, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis buah-buahan iaitu duku, langsat, manggis dan durian.

''Bagi pengusaha hotel dan resort, ini adalah peluang bagi mereka untuk menyediakan pakej lawatan kepada pelancong ke zoo ini selain kawasan pelancongan sedia ada," ujarnya.

Zoo berkenaan mengenakan bayaran masuk RM15 bagi pelancong asing, RM10 (dewasa), RM5 (kanak-kanak) dan RM3 ( pasukan seragam sekolah).

Ia dihubungkan melalui jalan Mak Chili-Ibok dan jalan Kerteh-Ibok manakala jalan air melalui Sungai Yak Yah.

Untuk kemudahan pengunjung, bas khas turut disediakan untuk ke lokasi itu melalui dua laluan iaitu dari Awana Kijal melalui pekan Kijal, Kampung Payoh dan Ibok ke zoo berkenaan.

Laluan kedua pula adalah dari stesen bas Chukai melalui Centre Point (KCP) ke Telekom dan terus ke zoo.

Bas berkenaan bertolak dua kali sehari iaitu pada pukul 12 tengah hari dan 4 petang.Datanglah ke Mini Zoo Kemaman.

0 comments: